Manusia mudah digelapkan mata dengan wang ringgit dan kebendaan hingga alpa dan tidak mempedulikan halal atau haram dalam kehidupan.
Mungkin kita sendiri pun tidak sedar dalam usaha kita mencari rezeki dari sumber yang halal kadangkala kita terjebak juga dengan sumber rezeki yang haram tanpa kita sedari.
Sumber rezeki haram bukan sahaja hasil dari menipu , mencuri atau merompak tapi ada pelbagai kategori.
Antara ‘pekerjaan’ yang haram dan syubhah ialah :
- Memperdaya orang
- Menipu
- Menawarkan pelbagai skim cepat kaya yang diragui
- Mengadakan transaksi riba
- Mengambil deposit wang secara tidak sah
- Menyertai pelaburan saham tidak patuh syariah
- Menyalahgunakan kuasa
- Memberi dan menerima rasuah
Dan macam-macam lagi.
Cara mudah untuk memperolehi wang ini pula dipertontonkan kepada seluruh masyarakat dengan menayangkan koleksi kereta mewah, menjalani gaya hidup mewah, membuat percutian mewah dan seumpamanya yang diragui latar belakang kerjaya sebenarnya.

Walaupun kita amat digalakkan menceburi bidang perniagaan kerana dikatakan 9/10 daripada rezeki adalah datangnya dari perniagaan, tetapi hendaklah daripada perniagaan yang halal dan sah.
Benarlah firman Allah SWT dalam surah al-Taghabun ayat 15:
Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.
Tidak syak lagi ramai umat Islam kini telah tidak mempedulikan halal dan haram sebagaimana yang telah diperingatkan oleh Rasulullah SAW sendiri kepada kita melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa:
Pasti akan datang suatu zaman di mana manusia tidak lagi mempedulikan dari mana hartanya diperoleh, apakah dari jalan yang halal atau haram.
Riwayat al-Bukhari
Hadis ini menjelaskan akan wujud pergeseran nilai-nilai yang dipegang teguh oleh generasi umat Islam terdahulu yang sentiasa berusaha mencari perkara halal dan sedaya upaya menjauhi perkara yang haram.
Tetapi keadaan sebaliknya yang akan berlaku apabila manusia akhir zaman yang lebih mementingkan wang ringgit dan kekayaan semata-mata tanpa melihat pertimbangan yang sebaik mungkin berdasarkan agama dan moral.
Umat Islam berkewajipan untuk mencari dan memperolehi rezeki daripada sumber yang halal.
Hadis Rasulullah SAW daripada An-Nu’man bin Basyir r.a katanya : “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya yang halal itu telah jelas (hukumnya) dan yang haram itu jelas (hukumnya) dan di antara kedua duanya (halal dan haram) terdapat perkara yang syubhah (yang tidak akan jelas akan kehalalannya dan keharamannya) yang tidak di ketahui oleh ramai manusia, maka barang siapa yang berjaga-jaga dari perkara yang syubhah, sesungguhnya ia telah menjaga agama dan kehormatannya. (Riwayat al-Bukhari)
Islam mewajibkan umatnya mencari rezeki yang halal, bersih dan berkat serta bekerja dengan tekun untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat.
Jika umat Islam sentiasa mengingati tentang hukum Allah dalam mencari rezeki dan nafkah kehidupan, maka mereka akan melibatkan diri dalam sebarang pekerjaan yang halal walaupun tubuh badan dan pakaian mereka kotor dan disaluti lumpur.
Ukuran status dan kedudukan individu bukan berdasarkan kepada kehebatan dan penonjolan diri sebagai seorang yang bertarafkan golongan bangsawan atau atasan tetapi ia berdasarkan kepada bagaimana seseorang individu itu mengendalikan hal ehwal kehidupannya secara diredai Allah.
Jika seorang individu mempunyai kedudukan yang tinggi dan kaya hasil daripada punca rezeki yang haram maka taraf dan kedudukannya adalah terlalu rendah dan hina pada pandangan Allah.
Rezeki yang diperoleh secara haram tidak akan diberkati Allah dan malah dijanjikan balasan buruk oleh Allah SWT di akhirat kelak.

Dalam konteks harta yang haram dan syubhah ini, ia sememangnya tidak boleh dijadikan rezeki atau dimiliki dan sebaliknya hendaklah dikembalikan kepada pemilik asal.
Imam Nawawi menyatakan bahawa kaedah penyucian harta yang haram adalah dengan bertaubat, memulangkan semula kepada pemilik asalnya atau warisnya dan membelanjakan bagi maksud maslahah umum.
Ia sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud:
Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.
Surah Al-Taubah: ayat 103
Ibadat zakat adalah penilaian yang subjektif selain dari agen penyucian, ia adalah hak “orang lain” di dalam harta kita.
Berbeza dengan penyucian harta haram atau syubhah atau mudah disebut sebagai wang tidak patuh syariah, ia adalah jelas, objektif dan umum diketahui oleh umat Islam tentang pengharamannya.
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim, Rasululullah S.A.W. bersabda,
Barangsiapa yang mengumpulkan harta yang haram kemudian mendermakannya, tiadalah baginya sebarang pahala (kerana harta itu bukan hartanya) dan penanggungan dosanya kekal (sehingga bertaubat)
Maka dengan itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk menjauhkan diri daripada bertransaksi dengan urusan-urusan yang melibatkan perkara-perkara haram atau diragui kehalalannya.
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
Allah SWT telah memperingatkan kita supaya janganlah mengambil harta yang haram sebagaimana maksudnya:
Dengan kepesatan pembangunan ekonomi negara ketika ini dan tumbuhnya pelbagai institusi kewangan Islam pada hari ini seperti bank-bank Islam, akaun-akaun dan sekuriti-sekuriti patuh syariah, syarikat-syarikat insurans Islam (takaful), syarikat-syarikat pajak gadai Islam (Ar-Rahnu) dan sebagainya, maka menjadi kewajipan (compulsory) kepada umat Islam untuk menggunakan sistem kewangan Islam yang wujud ini dengan sewajarnya.
Pada masa yang sama, dengan memantapkan iman dan memelihara diri dari melakukan perkara-perkara yang mazmumah, insya Allah akan menghindarkan diri kita dari terjebak ke lembah kehinaan atau memakan hasil-hasil yang haram.
SERAHAN WANG TIDAK PATUH SYARIAH MELALUI MAJLIS AGAMA ISLAM SELANGOR (MAIS)
Sebagai sebuah organisasi ulung yang bertanggungjawab mentadbir dan memegang amanah harta-harta orang Islam, MAIS berperanan untuk menyampaikan maklumat dan pengetahuan kepada seluruh umat Islam berkenaan peri pentingnya mengurus harta secara bijaksana sebagaimana yang dituntut oleh hukum syarak.
Pelbagai cabang pengurusan harta Islam telah diteroka dan hasilnya ia direalisasikan untuk manfaat seluruh umat Islam negeri ini. Aplikasi pelaksanaan sesuatu perkhidmatan itu dikaji dari segenap segi bagi memastikan perjalanan atau proses perkhidmatan yang dilaksanakan sentiasa bersandarkan kepada hukum syarak.
Mengambil pendekatan di atas, salah satu terimaan yang diperolehi di MAIS adalah melalui serahan wang tidak patuh syariah. Wang tidak patuh syariah boleh dikatakan sebagai istilah baru bagi mengambil pakai penggunaan nama wang haram atau wang syubhah yang bersesuaian dengan arus kemodenan masyarakat ketika ini.
Penyerahan kepada Baitulmal, Majlis Agama Islam Selangor merupakan pilihan cara pelupusan yang utama, selamat dan meyakinkan serta mampu menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi umat Islam sebagaimana yang diperuntukkan di dalam Seksyen 7, Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003:
maka hendaklah menjadi kewajipan majlis untuk menggalakkan, mendorong, membantu dan mengusahakan kemajuan dan kesejahteraan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di dalam negeri Selangor selaras dengan hukum syarak.
Serahan wang tidak patuh syariah boleh dibuat secara tunai atau cek di kaunter Baitulmal ibu pejabat atau pejabat-pejabat agama Islam daerah dalam negeri Selangor atau didepositkan ke akaun bank
Bank Islam Malaysia Berhad : 12-038-01-009567-6
Cek Atas Nama : Majlis Agama Islam Selangor
Pindahan wang melalui sistem e-MAIS : http://fpx.mais.gov.my/epay/syubhah.php
Info Lanjut Di Website : www.mais.gov.my
Semoga dengan penyucian harta ini diterima dan diberkati Allah SWT.
Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk semua.
Sekian, Wallahu a’lam.
Bagus perkongsian sebegini.. harta haram mana lagi nk letak melainkan di baitulmal. Semoga kita dijauhkan drp memiliki harta yang bukan milik kita..
Bagus perkongsian ni kak. Dekat ofis ni ada satu tabung, tabung duit tersepak. Kalau jumpa duit masuk dalam tabung tu..kumpul lepas tu serah Baitulmal..
ooo bagusnya idea tu …..paling2 boleh niat sedekah bagi pihak tuan punya duit kan ….
tq utk info kklong, baru tau ada sistem macam ni. info baru ni
adeh.. takut kalau makan harta haram nih.. dah jadi kerja lah pulak nak kena bersihkan
azni recently posted…Adakah Simpanan kita wajib dizakatkan? Jom faham bersama-sama
Takut la makan duot haram.. Takut kita tak sedar.. Bagus adanya Baitulmal.. Boleh simpan dekat situ
moga di jauhkan dari hasil rezki yang haram
moga di jauhkan dari hasil rezki yang haram
Yang haram wajib dijauhi. Yang halal disucikan melalui zakat dan sedekah. Setiap rezeki kita ada hak orang lain di dalamnya.
Otak Kiri recently posted…Labur, Labur, Lebur! Roti Kuah Banjir Satu.
Harap-harap dijauhkan lah dari ada harta yang haram.