1) Adakah air yang terdapat dalam satu baldi, kemudian mencedok dengan menggunakan gayung atau tangan, maka baki yang tinggal itu dikira sebagai mustakmal?

Jawapan: Air dalam baldi tidak menjadi air mustakmal dengan sebab seseorang mencedoknya dengan tangan atau gayung. Dengan syarat disertkan dengan niat menjadikan tangan sebagai pencedok air sahaja bukan niat berwuduk atau lain-lain tujuan.

2) Bagi pesakit kencing tidak lawas, ada ketikanya terutamanya sujud dalam solat, sedikit air kencing terkeluar. Hal ini terjadi berkali-kali. Sahkah solat jika seseorang itu meneruskan solat kerana  jika wuduk diambil semula, hal demikian tetap berlaku.

Jawapan: Sah solatnya mengikut pendapat semua mazhab. Oleh itu, bagi mengatasi masalah ini, jika dia seorang lelaki maka perlulah dibalut zakarnya dan bagi wanita dia dikehendaki memakai tuala wanita.

Kemudian, bersegeralah mengambil wuduk dan melakukan solat. Wuduk tersebut hanya sah untuk mengerjakan satu solat fardu dan beberapa ibadat sunat dalam satu waktu.

Imam Ghazali dalam kitabnya Bidayah al-Hidayah menyatakan untuk mengatasi penyakit yang disebutkan di atas, mesti melakukan istibra’ dengan cara berdehem berkali-kali kemudian megurut zakar perlahan-lahan tiga kali dengan tangan kiri dari pangkal zakar ke hujungnya setiap kali buang air kencing

3) Ada anjing menjilat bucu pagar rumah saya dan pada keesokkan harinya hujan turun dengan lebat. Perlukah saya membahuh pagar tersebut? Saya khuatir terkena badan semasa pagar itu basah.

Jawapan: Jika sesuatu seperti dinding terkena jilatan anjing yang terkena hujan, maka dinding itu menjadi suci. Hal ini berdasarkan Ibn Qayyim yang berpendapat jika najis itu terkena panas matahari dan tiupan angin pun telah menghilangkan najis tersebut.

Ibn Taimiyah berpendapat, sesungguhnya najis yang lenyap dengan apa jua cara secara tabii termasuk panas matahari, angin atau hujan, maka hilanglah hukum najis ke atasnya

4) Apakah yang perlu dilakukan apabila kita telah menyentuh botol atau tin arak yang dalam keadaan sejuk ataupun kering?

Jawapan: Arak termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Menyentuhnya tidak perlu samak, memadai mencucinya tangan sahaja yang tekena arak itu.

5) Sejak kecil, Bapa saya mengajar untuk berdehem selepas membuang air kecil tetapi saya tidak tahu tujuannya. Saya ingin mengetahui adakah berdehem itu wajib sebelum atau selepas membuang air dan apakah tujuannya?

Jawapan: Berdehem ialah salah satu kaedah yang diperkenalkan oleh ulama bagi mengeluarkan saki-baki air kencing yang tertinggal walaupun tidak didatangi oleh nas yang sah. Perbuatann ini tidaklah wajib. Ikutlah kesesuaian masing-masing untuk membersihkan saki-baki air kencing.

6) Apakah haram seseorang kencing berdiri?

Jawapan: Tidak haram kencing berdiri tetapi sunnah bagi seseorang itu kencing dalam keadaan duduk (mencangkung). Daripada Aisyah berkata bahawa,“Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Nabi kencing berdiri, janganlah kamu mempercayainya. Aku melihat Baginda kencing dalam keadaan duduk (mencangkung).” (Riwayat Ahmad)

7) Ustaz, ada pendapat yang mengatakan makruh merenjiskan atau mengelap lebihan air wuduk dari anggota wuduk selepas mengambil wuduk. Apakah dalil dalam perkara ini?

Jawapan: Mengelap air wuduk yang melekat pada anggota wuduk hukumnya adalah makruh, jika tanpa apa apa keuzuranseperti terlalu sejuk terlalu panas yang boleh menyakitkan anggota jika air wuduk terus kekal di anggota tersebut dan takut terkena najis atau debu-debu (najis).

8) Adakah batal wuduk seorang lelaki yang bersentuh dengan pondan?

Jawapan: Tidak batal. Hal ini demikian kerana disebabkan asalpandan tersebut lelaki, jadi lelaki tidak terbatal wuduknya apabila bersentuh dengan seorang lelaki.

9) Apakah hukum mandi bogel? Adakah dalil Al-Quran dan hadis yang melarangnya?

Jawapan: Mandi dalam keadaan bogel hukumnya adalah makruh. Hukum ini berdasarkan kenyataan al-Bukhari dalam kitab sahihnya. Daripada Muawiyah bin Haidah, beliau bertanya Nabi tentang mandi bogel berseorangan: “Ya Rasulullah! Kalau seseorang kita berada berseorangan?” Jawab Baginda: “Dia lebih layak berasa malu kepada Allah berbanding manusia.”

10) Adakah setiap kali keluar air mani kita wajib mandi wajib? Misalnya empat kali keluar air mani, Adakah wajib mandi wajib empat kali? Jika saya hanya melakukan sekali sahaja adakah saya masih dalam keadaan hadas besar? Sebelum ini saya tidak tahu yang mana ialah mandi wajib, Adakah saya berdosa besar?

Jawapan: Jika dalaam keadaan melaksanakan jimak tersebut keluar air mani beberapa kali, maka cukuplah mandi wajib itu sekali sahaja setelah proses keseluruhan jimak itu berakhir. Namun setelah berjimak kemudian mandi wajib setelah itu melakukan jimak (atau keluar air mani lagi) maka hendaklah dia mengulangi mandi wajib.

Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa Abdullah bin Qais bertanya kepada Aisyah: “Bagaimana perbuatan Nabi dalam mandi janabah, adakah Baginda mandi sebelum tidur atau tidur sebelum mandi? Aisyah segera menjawab, “Semua cara itu pernah dikerjakan oleh Baginda. Adakalanya Baginda mandi sebelum tidur dan sering kali juga berwuduk sebelum tidur.”

Kemudian saya (Abdullah bin Qais) berkata, “Alhamdulillah semua perkara ada kelonggarannya.” Walaupun anda melakukan sekali jimak sama ada keluar air mani atau tidak maka anda mandi wajib.

Jika selama ini kita tidak tahu tentang ketentuan agama ini lantaran kejahilan kita , maka bertaubatlah dan belajarlah ilmu agama secara berguru yakni sama ada bertanya ustaz yang diperakui keilmuan mereka.

Selain itu, kita juga boleh menghadiri kuliah-kuliah agama supaya dapat mempelajarinya secara lebih mendalam agar tidak terjemus kedalam dosa dan maksiat.

11) Bolehkah memotong pada hari-hari tertentu kerana percaya jika memotong pada hari tersebut akan mendapatkan kelebihan-kelebihan tertentu?

Jawapan: Terdapat hadis yang mengatakan bahawa menjadi kelaziman Rasulullah mengerat kuku pada hari Jumaat: “Nabi menggunting kumis dan memotong kuku setiap hari Jumaat” (Riwayat al-Baihaqi) Oleh yang demikian, Banyak kitab fiqah antara perkara sunat dilakukan pada hari jumaat ialah mengerat kuku.

12) Apakah hukum lelaki yang belum bersunat (walaupun umurnya melebihi 30 tahun) masuk ke masjid? Boleh atau tidak?

Jawapan: Boleh dan tidak dilarang. Bagi lelaki yang belum berkhatan tidak dilarang memasuki masjid.

13) Bagaimanakah caranya menyucikan air mani dan air mazi?

Jawapan: Cara untuk membersihkan air mazi dan air mani adalah seperti berikut. Cara untuk membasuh air mazi:

Merenjiskan air pada pakaian yang terdapat kesan air mazi tersebut. Hal ini berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Sahl bin Hunaif yang berkata: “Aku selalu menghadapi masalah terlalu banyak keluar air mazi lalu aku ceritakan kepada Rasulullah.

Baginda bersabda: “Sebenarnya memadai hanya engkau berwuduk.” Aku bertanya, “Ya Rasulullah, Bagaimnakah jika terkena pakaianku?” Jawab Baginda: “Memadai engkau mengambil secedok air lalu renjiskan pada pakaianmu dimana sahaja kamu lihat ada kesan air mazi” (Riwayat al-Tirmizi).

Berkenaan cara menyucikan air mani, para ulama berbeza pendapat sama ada air mani perlu dibasuh atau sekadar mengikisya. Jadi cara yang terbaik ialah seperti di bawah:

Cara menyucikan air mani: Membasuh kesan air mani tersebut jika kesannya masih basah. Jika telah kering, cukup hanya dengan mengikisnya kerana thabit perbuatan Aisyah.

Walaupun bagaimanapun, terdapat perbezaan dalam masalah ini. Ada yang mengatakan kesan itu perlu dibasuh kerana kesan itu najis mutawassitah. Oleh itu, untuk mengelakkan khilaf lebih baik air mani yang terkena pakaian dibasuh.

Aisyah berkata, “Aku mengikis kesan air mani Nabi yang telah kering dan membasuhnya jika masih basah.” (Riwayat a-Daruqutni). Jika seseorang terlupa membasuhnya ketika basah, solatnya tetap sah.

14) Saya tidak bermimpi basah tetapi pada seluar saya ada kesan yang sudah kering ketika saya bangun daripada tidur:selepas itu saya terus mengerjakan solat subuh, zohor dan asar: seterusnya saya terus mandi wajib kerana bimbang air yang keluar itu air mani. Adakah air itu air mani atau airmazi dan adakah sah solat subuh, zohor dan asar yang saya tunaikan?

Jawapan: Jika yakin kesan air pada seluar itu air mani, maka wajiblah saudara mengangkat hadas besar bagi membolehkan menunaikan kewajipan. Sebaliknya, jika kesan air tersebut bukan air mani, maka hendaklah dibersihkan terlebih dahulu untuk membolehkan solat yang dilakukan sah.

Adapun solat subuh, zohor dan asar yang dilakukan sebelum mengangkat hadas besar itu, maka tidak sah solat-solat tersebut (perlu diqada)

15) Apakah hukum pelajar wanitayang sedang uzur menulis ayat-ayat Al-Quran ketika belajar atau dalam peperiksaan. Adakah perkara tersebut dibenarkan?

Jawapan: Wanita yang sedang berada dalam keadaan uzur (haid) dibenarkan menulis ayat-ayat suci Al-Quran untuk tujuan menuntut ilmu. Adapun yang dilarang ialah memegang atau membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk beribadah dan tilawah.

16) Apakah hukumnya masuk kedalam tandas dengan membawa kaset Al-Quran?

Jawapan: Makruh hukumnya sekiranya sengaja membawa masuk kaset Al-Quran ke dalam tandas. Tetapi sekiranya terpaksa membawa masuk, maka tidaklah makruh.

Semoga bermanfaat untuk kita semua .

Sumber artikel : Majalah Solusi

Ditulis kembali oleh : Adam Darwisy , 11 tahun

Categorized in: