Alhamdulillah , selesai sudah. Aku rasa ini kali pertama aku dapat puasa 2 hari berturut iaitu puasa Hari Tarwiyah dan puasa Hari Arafah lepas terbaca satu perkongsian dan peringatan seseorang di Instagram.

Disunatkan untuk kita semua berpuasa pada Ahad & Isnin (18 & 19 Julai) sebelum tiba Hari Raya Aidiladha

Esok(Ahad) dipanggil Hari Tarwiyah, manakala Isnin dipanggil Hari Arafah
Kedua dua hari ini sangat besar pahala & ganjaran’nya disisi Allah Taala.

Cara Baca Niat Puasa Tarwiyah Dan Niat Puasa Arafah

Lafaz niat puasa Hari Tarwiyah : Sahaja aku berpuasa sunat hari tarwiyah kerana Allah Taala

Lafaz niat puasa Hari Arafah : Sahaja aku berpuasa sunat hari arafah kerana Allah Taala

Kelebihan Berpuasa Pada Hari Tarwiyah Dan Pada Hari Arafah

Afdhal niat berpuasa adalah pada malam hari,akan tetapi sekiranya terlupa, dibolehkan niat puasa sunat ini pada siang hari
Dalil :

Rasululah SAW bersabda
صَوْمُ يَوْمِ التَّرْوِيَةِ كَفَّارَةُ سَنَةٍ، وَصَوْمُ يَوْمِ عَرفَةَ كَفَّارَةُ سَنَتَيْنِ

Maksudnya: “Puasa pada hari Tarwiyah akan menghapuskan (dosa) selama setahun dan puasa pada hari Arafah pula akan menghapuskan (dosa) selama dua tahun.”

Kelebihan puasa hari Arafah(isnin) diampun dosa setahun yang lalu dan diampunkan dosa setahun kedepan.

Akan tetapi perlu difahami, diampun dosa setahun kedepan itu bermaksud diberikan taufik kepada seseorang itu dengan melakukan amalan-amalan soleh dan banyak bertaubat serta dipelihara daripada jatuh melakukan maksiat

Ini bagi mengelakkan tanggapan yang salah bahawa seseorang boleh melakukan maksiat sesudah berpuasa pada hari Arafah pada tahun itu dengan adanya jaminan penghapusan dosa.

Begitu juga ada pendapat ulama mengatakan :
أَﻥّ اﻟﻨَّﺒِﻲ ﺻَﻠّﻰ اﻟﻠﻪُ ﻋﻠﻴﻪ ﻭﺳﻠﻢ ﻛَﺎﻥَ ﻻ ﻳَﺪَﻉٌ ﺻِﻴَﺎﻡَ ﺗﺴﻊِ ﺫِﻱ اﻟﺤِﺠّﺔِ

Ertinya : Bahawa Nabi SAW TIDAK meninggalkan puasa 9 Zulhijjah (Sunan Abu Daud)

“Sebaik-baik doa adalah doa di hari Arafah, dan sebaik-baik zikir yang aku ucapkan dan juga diucapkan para nabi sebelumku adalah,

“لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ وَهُوَ عَلَى
كُلِّ شَىْءٍ قَدِير”.

Tidak ada yang berhak disembah selain Allah yang satu, tidak ada sekutu bagi-Nya, milik-Nya kekuasaan dan milik-Nya segala pujian, dan Dia Maha Berkuasa atas segala sesuatu).”

(Hadis diriwayatkan oleh Al-Tirmizi)

Himpunan Pelbagai Doa

Aku kongsikan juga beberapa doa yang mungkin boleh dimasukkan dalam senarai doa sedia ada. Doakan kebaikan kita semua juga ya.

Ya Allah, kurniakan padaku kejayaan terbesar, selamat dari api neraka dan masuk ke Syurga Firdaus.

Ya Allah, masukkan aku dan keluargaku dalam golongan yang beriman, yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.

Ya Allah, kurniakan padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucapkan syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kurniakanlah padaku syafaat Rasulullah SAW.

Ya Allah, masukkanlah aku dalam kalangan Rasulullah SAW, keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdaus.

Ya Allah, selamatkan rakan-rakan bukan Islamku dari neraka. Kurniakan mereka hidayah Islam.

Ya Allah, satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan-orang yang aku sayangi semata-mata keranaMu.

Ya Rabb, sempurnakan agamaku dan ibadatku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.

Ya Allah, terima amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkan aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.

Ya Allah, apabila aku mati, biarkan jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi.

Ya Allah, kurniakan kepadaku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan iman.

Ya Allah, masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunanMu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari ArashMu.

Ya Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku padaMu. Jangan singgahkan keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaanMu, kehebatanMu dan kekuasaanMu.

Ya Allah, tingkatkan kecintaanku untukMu dan NabiMu.

Ya Allah, ampuni aku dan tingkatkan kurnian rahmat dan rezekiMu.

Ya Allah, beri aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaanMu.

Ya Allah Ya Rabb, sucikan niatku hanya untukMu semata dan lindungi aku dari menunjuk-nunjuk atau kebanggaan palsu. Selamatkan aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk-nunjuk dan mengungkit ungkit nikmat.

Wahai Penciptaku dan Tuhanku, jangan Kau biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang sesuai dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mataku.

Ya Allah Ya Tuhanku, jadikan aku dari kalangan orang yang sabar dan patuh kepadaMu dan kepada ibu bapaku.

Ya Allah, selamatkan aku dari fitnah Dajjal.

Ya Allah, selamatkan aku dari azab kubur dan azab api neraka.

Ya Allah, tingkatkan usahaku dalam kerja-kerja sadaqatul jariah.

Ya Allah, berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud padamu dengan mudah sehingga akhir hayatku.

Ya Allah, lindungi aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim.

Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkan bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.

Tuhanku, berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti.

Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan dariMu Ya Allah.

Ya Allah, tingkatkan kesyukuranku semata-mata kepadaMu.

Ya Rabb, selamatkan aku dari kemunafikan.

Ya Allah, izinkan aku dan suamiku menjadi antara jemaah menunaikan Haji sebelum kami dijemput olehMu.

Ya Allah, lindungi kami dari syaitan, jin dan arak. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat mereka.

Ya Allah, ampuni dan berikan rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.

Ya Allah, aku berdoa dan memohon daripadamu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari kufur, putus asa, salah laku dan syirik.

Ya Allah, berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.

Ya Allah, hapuskan Virus Covid19 di seluruh dunia dan sembuhkan mereka yang dijangkiti.

Ya Allah, ampunkan segala dosaku, dosa kedua ibu bapaku dan ampunkan segala dosa seluruh muslimin dan muslimat di seluruh dunia.

Amin Ya Rabbal’ Alamin.

Akhir kata aku ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidiladha kepada semua muslimin dan muslimat, kepada kawan-kawan yang mengenali aku baik secara zahir ataupun secara maya. Mohon ampun maaf segala dosa dan kesalahan yang ada , baik sekecil2 salah hingga sebesar-besar kesalahan. Baik yang disengaja dan juga yang tidak disengajakan.

Categorized in: