Haaa tiber jer hari ni semua nak pi hunting KM0 dalam Malaysia.
Tapi bagi aku ok’lah kan, anggap ianya macam aktiviti yang bermanfaat. Walaupun cabaran tu nampak biasa tapi belum tentu semua mampu lakukan walaupun sebelah rumah jer.
So far dalam Malaysia, ini adalah kali pertama aku jumpa monumen KM0 itupun di Kuala Lipis , Pahang.
*Lokasi2 KM0 Semenanjung Malaysia :
- Kangar
- Klang
- Puchong ✅
- Kuala Lumpur ✅
- Butterworth
- Johor Bahru
- Tapah
- Kuala Lipis ✅
- Pulau Pangkor
- Tanjung Balau
- Pengkalan Kubor
- Rantau Panjang
- Seremban ✅
- Tanjung Malim
*Senarai ni sementara , nanti aku updet lagi.
Itulah petang tadi masa duduk-duduk depan PC aku macam terfikir. Takkan KM0 ada kat Lipis jer , mesti kat tempat lain ada jugak, dan tiba-tiba timbul idea nak hunting KM0 dan jadikan ianya sebagai satu cabaran buat diri sendiri.

APA ITU KM0 / KILOMETER SIFAR / ZERO / NOL ?
Pernahkah anda terjumpa sejenis batu penunjuk jarak di sesebuah bandar yang ditandakan dengan angka sifar kilometer? Kalau anda nak tahu, itulah dia kilometer sifar bagi bandar tersebut!
Apa itu kilometer sifar? Seperti namanya sendiri, ia bermaksud titik permulaan jarak bagi sesebuah bandar atau jalan raya. Dengan kata lain, itulah titik pusat bandar utama bagi sesebuah bandar.
Terdapat tiga jenis utama kilometer sifar, iaitu kilometer sifar bandar, kilometer sifar jalan dan kilometer sifar negara. Kilometer sifar bandar ialah titik khas di pusat bandar di mana jarak sesebuah bandar dikira.
Dalam pengukuran jarak sesebuah bandar di Malaysia, biasanya pejabat pos dijadikan sebagai titik kilometer sifar bagi sesebuah bandar.
Namun demikian, Kota Kinabalu adalah satu-satunya bandar di mana kilometer sifarnya tidak terletak di pejabat pos, sebaliknya Kilometer Sifar Kota Kinabalu terletak di perkarangan bangunan Lembaga Pelancongan Sabah di mana satu monumen khas Kilometer Sifar KK dibina, pertama kali seumpamanya di Malaysia.
Kilometer sifar jalan pula ialah titik di mana sesebuah laluan jalan raya bermula, biasanya di persimpangan pangkal di mana ia bertemu dengan laluan lain.
Ia ditandakan dengan batu penanda jarak biasa di mana kilometer seksyen (nombor berwarna hitam yang terletak di bahagian paling bawah batu penanda jarak) menunjukkan angka sifar (jika ada).
Kilometer sifar negara pula ialah titik pangkal utama bagi rangkaian jalan raya di sesebuah negara, biasanya ibu negara. Misanya, Kilometer Sifar bagi Jepun ialah di Jambatan Nihonbashi di Tokyo, manakala Kilometer Sifar bagi Perancis ialah di perkarangan bangunan gereja Notre Dame di Paris. – Sumber
So jelas dah kan semua pasal apa itu KM0 , aku nak explen tak pandai dan takut salah fakta so aku CNP rujukan yang terbaik untuk mudah kita semua fahami.
Masa lawatan ke Lipis , tour guide ada bagitahu kami yang dahulu sebelum penggunaan GMT , satu dunia telah menggunakan GPO iaitu General Post Office sebagai penanda landmark sesebuah tempat. (kalau aku salah mohon betulkan yer)

So secara asasnya kebanyakan kilometer sifar mesti terletak berdekatan dengan Pejabat Pos sebagai titik permulaan perkiraan dari satu point ke satu point baik daerah, negeri mahupun negara.
Oleh sebab aku nak explen pun tak pandai sebab takut salah fakta. Marilah sekali lagi kita baca dari sumber yang sahih.
INFO SEJARAH KILOMETER SIFAR (KM0)
Di kebanyakan negara, kilometer sifar (juga ditulis km 0) merujuk kepada satu lokasi khusus (biasanya terletak di ibu negara), dari mana jarak diukur secara tradisional.
Istilah sama digunakan bagi sesebuah laluan jalan raya (iaitu, semua lokasi di jalan tersebut mempunyai nombor jarak, bergantung kepada jaraknya dari lokasi kilometer sifar), serta bagi sesebuah bandar (biasanya diukur dari pejabat pos utama bandar tersebut).
Johor Bahru menjadi titik pemula bagi Km0 Jalan Persekutuan. Kenapa bukan Kuala Lumpur? Jawapannya mudah sahaja – kesemua laluan tulang belakang utama bagi rangkaian jalan raya Malaysia (Jalan Persekutuan 1, 3 dan 5) dikira dari Johor Bahru, meskipun titik permulaan bagi setiap laluan tersebut mungkin berbeza.
Jalan Persekutuan 1 bermula dari tapak asal Kompleks Imigresen Tanjung Puteri yang sudah dirobohkan. Jalan Persekutuan 3 pula bermula dari Persimpangan Johor Bahru di KM1 Jalan Tun Abdul Razak FT1. Jalan Persekutuan 5 pula bermula di persimpangan bertingkat pangkalnya di KM19 Lebuhraya Skudai FT1.
Sementara itu, Kuala Lumpur terletak lebih kurang 380 km dari permulaan Jalan Persekutuan 1 dan 40 km dari permulaan Jalan Persekutuan 2. Oleh kerana Kuala Lumpur terletak jauh dari titik permulaan laluan tulang belakang utama, maka ia tidak sesuai dijadikan Kilometer Sifar Kebangsaan.

Dari segi sejarah pula, semua jalan raya utama di Semenanjung Malaysia bertemu di Johor Bahru sebelum ia dihubungkan ke Singapura melalui Tambak Johor apabila ia dibuka kepada lalu lintas pada tahun 1924. Dengan itu, Johor Bahru telah menjadi Kilometer Sifar Kebangsaan sejak lebih kurang 92 tahun dahulu.
Namun, apa yang mendukacitakan ialah kurangnya usaha untuk memartabatkan Kilometer Sifar Johor Bahru ini sebagai Kilometer Sifar Kebangsaan.
Hanya sekeping papan tanda bersama-sama batu penunjuk jarak Kilometer Sifar Johor Bahru didirikan, menyebabkan rata-rata mesyarakat tidak mengetahui akan kewujudan Kilometer Sifar Kebangsaan ini.

Usaha yang perlu dilakukan bagi memartabatkan Kilometer Sifar Kebangsaan ini ialah dengan mendirikan satu monumen peringatan oleh Kementerian Kerja Raya dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Arkib Negara dan Kementerian Pelancongan, serta dengan pengisytiharan oleh Menteri Kerja Raya dan Perdana Menteri sendiri.
Kilometer Sifar Kebangsaan di Johor Bahru wajar dimartabatkan sebagai Warisan Kebangsaan, berikutan peranannya sebagai titik pangkal sistem jalan raya negara sejak 88 tahun dahulu. – *Sumber Asal Dah Hilang Link
Aku setuju dengan penulis. Kerajaan mesti martabatkan KM0 sebagai warisan dan secara tak langsung ianya dapat dijadikan tarikan pelancong tempatan dan juga pelancong luar negara.

So gais tunggu apa lagi , jom sama2 kita hunting KM0 dalam Malaysia. Aku harap sangat kalau boleh Kementerian Pelancongan boleh bangunkan satu monumen khas untuk KM0 di tempat-tempat yang telah dikenal pasti sebagai permulaan titik sifar.
Last tak last’lah jugak aku nak kongsi dengan korang gambar aku dekat Kilometer 0 paling barat di Sabang Indonesia.
Aku rasa monumen KM0 disini adalah yang paling besar dan paling meriah dengan pengunjung sebab ianya memang dijadikan oleh kerajaan sebagai tempat wajib lawat apabila berkunjung ke Pulau Sabang.

So KM0 Malaysia , mu tunggu aku datang !
Baru tau pasl ni.. Hahahaha
saya baru tahu pasal KMO bla tengok blogger-blogger KBBA share